Perubatan Alternatif di Hospital Kerajaan

PERUBATAN ALTERNATIF DAN KOMPLIMENTARI DI HOSPITAL KERAJAAN

Keputusan kabinet untuk memberi keizinan kepada pengamal perubatan alternatif dan tradisional di Malaysia bagi merawat pesakit di hospital kerajaan adalah sangat dialu-alukan.

Cadangan ini tentunya lahir daripada kejayaan cemerlang Hospital Tung Shing di Kuala Lumpur dan Hospital Lam Wah Ee, Pulau Pinang mengintegrasikan kaedah rawatan ini di bawah satu bumbung.

Meneliti maklum balas yang dibuat oleh sebahagian masyarakat yang terdiri daripada ahli parlimen, pengamal perubatan moden dan alternatif serta orang ramai, didapati terdapat tiga kelompok utama yang terlibat. Satu kumpulan menentang keras langkah ini, kumpulan kedua pula menerima dengan penuh kegembiraan manakala golongan ketiga bersikap tunggu dan lihat.

Golongan pertama pastinya para pengamal perubatan moden dan mereka yang pro kaedah perubatan ini. Kelompok ini melihat perubatan moden yang menggunakan teknologi dan bersifat saintifik sebagai penyelesai ke atas setiap jenis penyakit. Mereka berbangga dengan keupayaan rawatan yang diberi dan menjadi perubatan perdana di seluruh dunia.

Golongan kedua pula adalah pengamal perubatan tradisional dan alternatif yang terdiri daripada akupuntur, homeopati, iridiologi, refleksiologi, singseh, urutan terapuetik dan terapi getaran warna. Malah pelbagai jenis perubatan yang telah lama wujud dalam masyarakat seperti ayurvedik dan perubatan tradisional cina. Mereka melihat perubatan alternatif sebagai pelengkap kepada perubatan konvensional yang sedia ada.

Kelompok ketiga ialah orang ramai yang ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan kedua-dua sistem perubatan ini jika benar-benar dilaksanakan. Tentulah pengguna yang akan mendapat manfaat jika diberi banyak pilihan dari segi perbelanjaan dan khidmat rawatan.

Kita yakin perkembangan ini selari dengan aliran dunia masa kini yang melihat kecenderungan orang ramai untuk mendapatkan khidmat rawatan yang terbaik. Di India umpamanya, perubatan tradisi ayurvedik telah menjadi rawatan pilihan kepada kebanyakan masyarakat di samping homeopati. Penubuhan kolej dan hospital alternatif turut membuktikan kaedah rawatan sebegini diterima ramai.

Di Thailand juga diadakan rawatan alternatif kepada pesakit. Masyarakat Thailand yang terkenal dengan budaya “memanjakan” tetamu menjadikan industri urutan sebagai penjana perkhidmatan perubatan kerana kelebihan yang diperolehi secara tidak langsung memberi pilihan kepada pesakit dan orang ramai untuk mendapatkan rawaan perubatan yang terbaik dan memuaskan.
Kerajaan wajar mempercepatkan usaha ini jika ingin menjadikan pelancongan kesihatan sebagai salah satu penjana pendapatan negara. Namun begitu, banyak perkara yang perlu diberi perhatian seperti kelayakan pengamal, kolej bertauliah, garis panduan pelaksanaan, ubat-ubatan dan juga pengenalan kurikulum bersepadu kepada semua pengamal perubatan di Malaysia.

Perubatan akupuntur, homeopati, ayurvedik dan refleksiologi telah lama diiktiraf sebagai rawatan kesihatan alternatif dan komplimentari yang berkesan di sesetengah negara tetapi belum mendapat pengiktirafan yang sewajarnya daripada kerajaan Malaysia. Para pengamal ini ada di antaranya telah menuntut bertahun-tahun dalam disiplin yang diminati di luar negara menggunakan perbelanjaan sendiri malahan ada yang telah berjaya dalam kerjaya mereka.

Dengan adanya pengiktirafan begini, proses meningkatkan profesionalisme pengamal perubatan alternatif dan tradisional dapat dilaksanakan dengan cepat.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang diumumkan, kerajaan memperuntukkan RM10.28 bilion kepada Kementerian Kesihatan bagi pelaksanaan program kesihatan awam. Pengenalan perkhidmatan perubatan alternatif akan membantu usaha kerajaan ini bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat. Sudah sampai masanya pengintegrasian perkhidmatan kesihatan dilaksanakan secara menyeluruh bagi menjulang kecekapan, kualiti dan kesaksamaan dengan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Usaha-usaha ini memerlukan perancangan yang teliti khususnya penyediaan kurikulum khusus berkaitan perubatan alternatif dalam arus perdana perubatan moden. Akan tiba masanya kelak orang ramai dapat membuat pilihan ke atas perkhidmatan yang diberikan seterusnya memberikan persaingan yang sihat.

Tidak dapat dinafikan bahawa perubatan moden sentiasa ditambah baik dengan pelbagai ilmu dan kemahiran melalui penyelidikan dan pembangunan berbanding perubatan alternatif dan tradisional. Bagi menggalakkan minat orang ramai menggunakan perkhidmatan alternatif, kempen galakan wajar dilakukan oleh kerajaan untuk melihat kebaikan dan keberkesanan perubatan ini.

Hal ini penting kerana pengaruh kerajaan ke atas masyarakat amat kuat. Pada masa yang sama, insentif wajar diberikan kepada pengamal sedia ada untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka di institusi yang diiktiraf supaya sistem perubatan yang dipraktikkan dapat dimantapkan.

Galakan melalui pengiktirafan, diploma dan ijazah dapat memberi dorongan kepada generasi muda untuk menerokai bidang ini seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Institusi kewangan juga boleh membantu melalui pinjaman untuk memulakan perniagaan kepada mereka yang berminat. Skim bantuan ini dapat mempercepatkan kesedaran orang ramai bagi menghilangkan persepsi negatif terhadap perubatan alternatif dan tradisional.

Bagi mereka yang berasa sangsi dengan perubatan alternatif dan tradisional, boleh melihat sejarah keluarga Diraja Britain yang menggunakan perkhidmatan homeopati sebagai pilihan mereka.

Justeru, tidak ada lucunya perkhidmatan perubatan alternatif dan tradisional ini jika sistem pengiktirafan, pengajaran, perkhidmatan dan penyelidikan yang disediakan dibuat dengan profesional. Istilah-istilah lapuk seperti bomoh, pawang, dukun dan singseh boleh ditukar kepada istilah baru untuk memberi nafas kesegaran dan meningkatkan imej profesional pengamal. Tahap pengetahuan dan kepakaran mereka juga boleh ditingkatkan dengan kursus dan sijil yang boleh diperkenalkan bagi jangka masa pendek.

Sekiranya kemenyan dan jampi serapah hendak diperkenalkan, ia perlulah dilakukan secara saintifik kerana didapati amalan ini banyak diserapi oleh amalan tradisi dan kepercayaan yang boleh dipertikai.

Keazaman kerajaan untuk mengintegrasikan perkhidmatan perubatan konvensional dan alternatif adalah langkah terbaik kepada orang ramai khususnya masyarakat berpendapatan rendah. Terserah kepada pengamal untuk meningkatkan ilmu, kepakaran dan keupayaan masing-masing.

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s