Dalam ajaran agama Hindu, Dewa adalah digambarkan sebagai makhluk suci, makhluk supernatural, penghuni syurga, setaraf dengan malaikat, dan merupakan manifestasi dari Tuhan Yang Maha Esa. Kata “dewa” berasal dari kata “div” yang bererti “bersinar”. Dalam kitab suci Reg Weda, Weda yang pertama, disebutkan terdapat 33 Dewa, yang mana ketiga puluh tiga Dewa tersebut merupakan manifestasi dari kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa. Di antara Dewa-Dewi dalam agama Hindu, yang paling terkenal sebagai suatu konsep adalah: Brahmā, Wisnu, Çiwa. Mereka disebut Trimurti.
Dalam kitab-kitab Weda dinyatakan bahawa para Dewa tidak dapat bergerak bebas tanpa kehendak Tuhan. Para Dewa juga tidak dapat menganugerahkan sesuatu tanpa kehendak Tuhan. Para Dewa, sama seperti makhluk hidup yang lain yang mana Dewa juga bergantung kepada kehendak Tuhan. Filsafat Advaita (yang bererti: “tidak ada duanya”) menyatakan bahawa tidak ada yang setara dengan Tuhan. Dan para Dewa hanyalah merupakan perantara antara Tuhan dengan umatnya.